Teroka Kaedah Baharu Mendigitalkan Perniagaan
Kenal pasti lokasi dan kaedah untuk menjual produk atau perkhidmatan anda supaya dapat sampai kepada pengguna akhir. Ia boleh dibuat secara langsung atau tidak langsung menerusi beberapa jenis saluran pengedaran seperti agen, pengedar, pemborong dan peruncit.
Kaedah alternatif seperti pasaran dalam talian juga boleh digunakan untuk menjual produk atau perkhidmatan secara terus kepada pelanggan yang disasarkan. Pemilihan kaedah yang betul akan membolehkan anda untuk menembusi pasaran yang lebih besar, meningkatkan jualan dan memaksimumkan keuntungan kerana produk atau perkhidmatan anda telah sampai kepada pengguna akhir yang betul pada waktu yang tepat.
Perbezaan antara Jualan Langsung dan Tidak Langsung
Jualan Langsung
Produk atau perkhidmatan dijual kepada pelanggan secara langsung melalui bersua muka, surat atau dalam talian.
Jualan Tidak Langsung
Menggunakan saluran pertengahan seperti peruncit, pemborong atau agen untuk mengedarkan produk atau perkhidmatan anda tetapi dengan harga tokokan daripada pihak pengantara. Kaedah ini sangat berkesan untuk sampai kepada pasaran yang lebih luas.
![[Blog] Mendigitalkan Perniagaan Anda-2-](https://www.skillsborneo.com/hs-fs/hubfs/SBA%20-%20Blog%202021/%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda/%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda-2-%20.png?width=300&name=%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda-2-%20.png)
Perlu Tahu
Kita kini berada dalam era moden di mana kaedah pemasaran konvensional sudah menjadi kurang sesuai untuk sampai ke sasaran yang lebih besar. Penggunaan teknologi perlu digunapakai sepenuhnya, sekurang-kurangnya menggunakan kaedah pemasaran digital untuk perniagaan anda.
Pemasaran digital ditakrifkan sebagai aktiviti promosi untuk produk atau jenama melalui aplikasi media elektronik. Fungsinya ialah sebagai medium pertukaran maklumat produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Selain itu, usahawan boleh menggunakan kaedah ini untuk membina dan mengekalkan hubungan bersama pelanggan.
Pemasaran digital adalah lebih kos efektif daripada kaedah pemasaran konvensional dari segi kitar jualan yang berkurangan, boleh diukur, memberi lebih kemudahan serta mencapai hasil yang disasarkan. Pemasaran digital kini dan pada masa hadapan bermatlamat untuk menghasilkan jualan daripada pengguna internet.
Cara yang paling mudah untuk anda mencipta jaringan pemasaran atas talian sendiri ialah dengan menggunakan emel yang boleh dihubungkan dengan aplikasi atas talian yang lain seperti:
- Google Places
- Weblog
- Media Sosial
- Pengiklanan Atas Talian
- Portal Khas
- Pemasaran Bergambar
- Berdasarkan lokasi seperti Foursquare
- Laman Web
![[Blog] Mendigitalkan Perniagaan Anda -1](https://www.skillsborneo.com/hs-fs/hubfs/SBA%20-%20Blog%202021/%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda/%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda%20-1%20.png?width=300&name=%5BBlog%5D%20Mendigitalkan%20Perniagaan%20Anda%20-1%20.png)
Strategi Pemasaran Digital
Ia adalah pelan tindakan yang perlu dibangunkan menggunakan jaringan atas talian yang ada untuk menarik minat pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan perniagaan anda.
Berikut merupakan beberapa strategi pemasaran digital yang boleh digunakan untuk perniagaan anda:
- Pemasaran Bermaklumat
Gunakan maklumat ringkas, video pendek atau perkongsian media sosial melalui jaringan pemasaran atas talian.
- Peruncitan Dalam talian
Mulakan kedai atas talian supaya pelanggan boleh membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan anda melalui internet.
- Aplikasi Mudah Alih
Cipta atau buka akaun aplikasi mudah alih supaya pengguna boleh memuat turun ke dalam telefon pintar atau gadjet mereka.
- Saluran Media Sosial
Bina sebuah profil perniagaan atas talian di dalam media sosial. Anda perlu bertindak dengan aktif untuk berinteraksi bersama pelanggan-pelanggan anda untuk mempromosi dan memberi pengetahuan tentang produk atau perkhidmatan anda.
- Pemasaran E-mel
Gunakan mesej bergrafik yang menarik untuk menyampaikan maklumat tentang produk atau perkhidmatan anda kepada pengguna melalui emel.
- Perkataan Yang Menarik Perhatian
Gunakan perkataan atau frasa unik berkaitan produk atau perkhidmatan yang boleh dicari dengan mudah di laman web oleh pelanggan anda
- Laman Web Mesra Pengguna
Cipta laman web yang responsif dan mesra pengguna supaya pelanggan boleh mendapat akses melalui komputer, komputer riba, telefon pintar dan tablet. Gunakan nama domain yang mudah diingati.
Sumber
SME Corp. Malaysia, 2021