Back to Blog

Menggalakkan Penglibatan Belia Dalam Keusahawanan Sosial

Image of Skills Borneo Academy
Skills Borneo Academy
Kemahiran Keusahawanan

Kita mungkin sudah biasa mendengarkan istilah keusahawanan yang ada disekitar kita. Namun demikian, keusahawanan sosial adalah terma yang masih agak baru diperbincangkan pada zaman ini.

Apakah maksud usahawan sosial?

Usahawan sosial adalah individu yang memiliki idea inovatif untuk penyelesaian sesuatu masalah berkaitan sosial. Mereka memiliki cita-cita yang tinggi untuk mengubah sistem dan menyelesaikan masalah yang wujud. Mereka tidak hanya mengharapkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu tetapi mereka cuba mencari idea kreatif untuk penyelesaian dan juga menyebarkan idea itu untuk ditiru oleh pihak yang terlibat. Selain menjadi agen perubahan, mereka juga mencari peluang yang tidak digunakan orang lain. Kesimpulannya usahawan ini menggunakan prinsip-prinsip keusahawanan untuk membangun dan mengurus perniagaan dalam mencapai matlamat sosial.

Keunikan usahawan sosial adalah mereka memiliki dua ciri yang sama yakni memahami isu yang sedang dihadapi dan kedua mencari formula untuk menyelesaikan masalah sosial yang ada. Dalam konteks ini, perkara yang paling utama adalah mereka memang memiliki minat yang tinggi dalam isu yang ingin diselesaikan. Selain itu usahawan sosial juga perlu bijak merancang strategi seperti mendapatkan bantuan kewangan, dana, tenaga serta sokongan daripada piha-pihak tertentu untuk mencapai matlamat.

Ada beberapa persoalan yang perlu difikirkan apabila kita ingin menggalakkan para belia terlibat dalam keusahawanan sosial ini. Beberapa soalan yang perlu dititikberatkan adalah:

  1. Bagaimana kita ingin memastikan belia menjadi usahawan sosial yang aktif bukan sekadar melatih mereka menjadi bakal usahawan professional dan beretika?
  2. Apakah projek yang sangat berpotensi bagi para belia menceburkan diri?
  3. Bagaimana kita dapat membantu belia membentuk satu program Usahawan Sosial Belia?

[blog] Menggalakkan Penglibatan Belia.. - 14 Sept -2 

Contoh Keusahawanan Sosial Yang Berjaya

Satu contoh keusahawanan sosial yang paling berjaya adalah Bank Grameen di Bangladesh yang diusahakan oleh Muhammad Yunus. Beliau memberikan pinjaman wang kepada orang-orang miskin tanpa cagaran untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Projek ini memfokuskan kepada wanita miskin untuk memperbaiki dan mempertingkatkan taraf kehidupan mereka.


Contoh yang kedua adalah diusahakan oleh chef ternama, Jamie Oliver yang menceburkan diri dalam projek Fifteen Restaurant. Dalam projek ini, Oliver telah melatih belia yang tiada pekerjaan dan bermasalah hingga menjadi seorang tukang masak yang mahir. Daripada kedua-dua contoh yang dikemukakan, dapat kita fahami bahawa dalam keusahawanan sosial ini, individu yang mempunyai wawasan atau idea kreatif akan dapat merealisasikan idea tersebut dengan memilih golongan masyarakat yang tertentu, melatih atau membantu mereka dengan cara atau kaedah tertentu sehingga golongan yang dibantu dapat berdiri di atas kaki sendiri.

[blog] Menggalakkan Penglibatan Belia.. - 14 Sept -3

Cadangan Untuk Belia

Berdasarkan contoh di atas, sekiranya keusahawanan sosial ingin digalakkan, pihak berkuasa atau agensi yang terlibat dengan belia mestilah berperanan aktif untuk mendapatkan dana selepas mengenalpasti masalah dalam kalangan belia. Oleh kerana belia adalah golongan yang produktif dan bertenaga, mereka perlu dilatih dan dididik dengan prinsip yang betul.

Belia yang tidak mempunyai pekerjaan bolehlah dilatih mengenalpasti idea perniagaan di kawasan penempatan mereka. Sekiranya di kampung, belia boleh melihat potensi pertanian seperti mengusahakan tanaman asas yang menjadi permintaan ramai seperti halia, kunyit, serai, pandan dan sebagainya. Selain dari ramuan makanan ianya dijadikan bahan rawatan untuk kesihatan.

Teknik-teknik penanaman perlulah diajar supaya pengeluaran dapat dilakukan pada tahap maksimum. Kaedah pemasaran yang betul dan efektif juga perlu diajar supaya mereka boleh menubuhkan satu konsortium atau koperasi untuk menguruskan hasil penanaman. Apabila satu badan ditubuhkan untuk menguruskan hasil pengeluaran, belia-belia dapat menampung kehidupan dengan menjadi usahawan.

Apabila kejayaan ditempa, pelbagai idea keusahawanan bakal timbul dan mereka inilah yang bakal menjadi tunggak dalam keusahawanan sosial yang lain. Belia perlu dilatih dalam bidang ini kerana hanya mereka yang tahu keperluan dan masalah yang mereka hadapi. Melalui keusahawanan ini para belia boleh membimbing lebih ramai belia yang tidak mempunyai pekerjaan stabil untuk berjaya dalam kehidupan dan membangunkan ekonomi kampung mereka. Adalah diharapkan melalui sokongan kerajaan dan pihak korporat para belia dapat dilatih menjadi usahawan dalam mengatasi masalah kemunduran ekonomi yang mereka hadapi.

 

Kredit
Ida Rizyani Tahir & Dr. Zuraina Ali (UMP), 2021


Manfaat Perniagaan Dalam Talian Dengan Platform Digital

Image of Skills Borneo Academy
Skills Borneo Academy

Sejak peristiwa penularan wabak Covid-19 menyerang penduduk di pelosok dunia, seperti yang kita...

Read more
Pertanian Pintar

Pertanian Pintar Atasi Pengangguran Belia

Image of Skills Borneo Academy
Skills Borneo Academy

Persekitaran kerja sektor pertanian berubah selaras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan penggunaan...

Read more