Manfaat Perniagaan Dalam Talian Dengan Platform Digital

Written by Skills Borneo Academy | Sept 15, 2021 12:00:00 am

Sejak peristiwa penularan wabak Covid-19 menyerang penduduk di pelosok dunia, seperti yang kita ketahui telah menyebabkan berlakunya segmen pasaran baharu secara besar-besaran melalui penerapan e-dagang dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

Meskipun tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan beberapa aktiviti ekonomi lumpuh, ramai usahawan baharu melihat keadaan ini sebagai satu peluang untuk memulakan perniagaan dan meneroka strategi baharu. Berdasarkan laporan berita, dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada tahun 2020, aktiviti perniagaan dalam talian telah meningkat sehingga 28.9 peratus.

Selain perusahaan dan perniagaan sedia ada yang beralih kepada pemasaran produk secara digital, peluang ini turut sama direbut oleh banyak usahawan baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup. Ikuti petua asas tiga usahawan baharu tempatan yang mula menceburi bidang perniagaan ketika musim ancaman wabak penyakit berbahaya dan cabaran yang dihadapi mereka.

Kaji Perniagaan Berpotensi Sebelum Mula Berniaga

  • Sepanjang musim pandemik, perniagaan paling terkesan adalah sektor membabitkan kedai makanan dan minuman (F&B). Menyedari peluang ini, Irdina Anisa Mohd Saab 26, yang mempunyai pekerjaan tetap, mula berniaga untuk membuat duit sampingan. Katanya, dia ingin lebih ramai merasai pencuci mulut kek batik resepi daripada neneknya.

     "Saya melihat pada musim pandemik, perniagaan F&B adalah selamat dan terbaik kerana setiap individu perlu makan walau apa keadaan sekalipun. Bagaimanapun, untuk berniaga penting membuat kajian pasaran bagi memahami sifat asas di mana perniagaan dipilih memiliki permintaan tinggi dan pelanggan berulang," kata Irdina.

  • Berbeza dengan Akaun Eksekutif, Farah Afrina Muhammad Tahar, 26, yang memulakan perniagaan menjual pencuci mulut jeli kelapa sebagai langkah berjaga-jaga dengan keadaan semasa yang tidak menentu serta sebagai pendapatan tambahan.

    "Saya bukan seorang yang senang untuk memulakan perniagaan, oleh itu saya jual produk yang saya suka dan minat sahaja," katanya.

  • Usahawan bahulu gulung, Anis Farihah Rohaimi, 25, pula berpendapat melalui perniagaan dalam talian, platform ini dilihat lebih efektif kerana tidak perlu keluar untuk berniaga dan menyewa tapak sekali gus ia lebih menjimatkan kos untuk menjana pendapatan.

    "Untuk berniaga perlu berani trial and erro, dan perkara utama adalah memiliki rancangan sandaran bagi memastikan kita bersedia dengan sebarang kemungkinan sepanjang berniaga," katanya.

Tambah Ilmu

Ilmu pengetahuan dalam berniaga adalah asas utama untuk memastikan sesuatu perniagaan itu berjaya. Ini kerana, setiap peniaga perlu tahu cara untuk mencipta identiti jenama produk yang ingin dijual untuk memastikan kebolehpasaran produk dengan pesaing lain. Sebagai contoh, terdapat ramai peniaga menjual produk kecantikan berasaskan bahan semulajadi, tetapi bagaimanakah cara untuk kita pastikan produk yang kita jual mempunyai keunikan dan tarikan berbanding jenama lain.

Selain itu, taktik memasarkan produk amat penting untuk memastikan produk yang dijual lebih menyerlah dan peniaga juga perlu mengetahui kemahiran bagi menarik pelanggan. Kini ramai usahawan telah beralih untuk memilih platform berniaga dalam talian sebagai perkara utama kerana setiap platform memiliki pelanggan sasaran tersendiri.

Selain itu, platform ini juga memiliki waktu puncak di mana pengguna ramai menggunakan media sosial. Oleh itu penting untuk kaji waktu paling sesuai untuk membuat hantaran di media sosial (posting). Sebahagian usahawan ada berpendapat, bahawa menggunakan platform Instagram dan Shopee untuk menjual produk berasaskan makanan adalah lebih baik, dimana peniaga dapat mempromosikan produk di laman Instagram yang juga pautkan pelanggan ke laman Shopee bagi memudahkan urusan pelanggan untuk membeli. Tetapi kita kena ingat, tidak semua produk boleh dipasarkan ke semua platform digital, tugas anda adalah untuk mengkajinya terlebih dahulu sebelum memasarkan produk anda.

Selain memilih perniagaan yang tepat, bakal peniaga juga perlu memiliki ilmu untuk melayan bakal pelanggan, serta asas mengambil gambar dan menulis ayat yang memikat pelanggan atau teknik copywriting. Jangan pandang remeh, peniaga perlu tambah ilmu dan belajar copywriting untuk tarik pelanggan seperti penggunaan hard sell dan soft sell dalam proses pemasaran serta promosi produk.

 

Cabaran Mendepani Perniagaan Dalam Talian Melalui Penggunaan Komputer

Antara cabaran sepanjang berniaga di musim pandemik adalah memiliki komputer peribadi yang lengkap dengan pelbagai spesifikasi mampu membantu memudahkan urusan perniagaan. Bagi usahawan urusan perniagaan boleh menjadi lambat apabila menghadapi masalah seperti peranti berat dan tidak mesra pengguna, kapasiti bateri rendah serta pemproses yang lambat.

Antara cabaran lain yang dikongsikan, peniaga sering menghadapi masalah apabila perlu membawa komputer bersama-sama ke mana sahaja. Oleh itu, seorang peniaga perlu memiliki sekurang-kurangnya komputer dengan reka bentuk yang ringan dan mesra pengguna bagi memudahkan pergerakan dan urusan seharian. Di pasaran kini, terdapat banyak pilihan komputer riba yang memiliki reka bentuk yang ringan dan tahan lasak, jadi anda tidak perlu risau seperti membawa beban lebihan bebanan ketika bekerja.

Selain itu, pengusaha sering menghadapi masalah apabila perlu menyediakan bahan promosi dan iklan kepada agen serta dropship di bawah seliaan mereka. Proses seperti menyediakan gambar dan iklan mengambil masa yang lama juga memerlukan komputer dengan pemproses yang pantas untuk membantu memudahkan kerja menyunting gambar atau video. Jika perniagaan cenderung untuk kerap melakukan kerja penyuntingan secara digital, adalah lebih baik berkorban sedikit untuk pembelian komputer tersebut sekiranya berkemampuan bagi mengelakkan masalah komputer lambat ketika membuat penyuntingan.

Cabaran lain iaitu, peniaga juga sering menghadapi masalah dengan kemudahan peranti untuk menjalankan perniagaan kerana amat sukar untuk memproses bungkusan dan tempahan dengan menggunakan telefon. Kena faham, setiap telefon pintar atau komputer mempunyai had fungsi bagi spesifikasinya dan peniaga harus tahu ciri-ciri asas komputer yang boleh memudahkan pengurusan perniagaan dalam talian. Terutamanya dalam hal memproses barang pelanggan untuk dipos, proses untuk mencetak keperluan dokumen, menyemak status, atau pesanan diterima setiap hari.

Kredit
BH Online, 2021